TEKNOLOGI
HIJAU UNTUK MENGURANGKAN ISU GLOBAL ALAM SEKITAR
Dewasa ini,
pelbagai masalah global yang telah wujud ekoran daripada aktiviti dan perbuatan
manusia. Antaranya ialah fenomena banjir. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran
Negeri Selangor Darul Ehsan, banjir boleh ditakrifkan sebagai badan air, yang
melimpah keluar dari tebing sungai, tasik atau sistem perparitan disebabkan
oleh hujan lebat, pencairan ais, air pasang, dan halangan pada saluran. Di
Malaysia, banjir tidak mempunyai kategori khusus namun kebiasaannya
dikategorikan sebagai bermusim, banjir kilat, atau banjir pasang surut. Di
samping itu, banjir juga boleh digambarkan berdasarkan lokasi, ciri-ciri, sebab
berlaku, masa ketika banjir berlaku dan tempohnya. Terdapat beberapa punca yang
boleh menyebabkan berlakunya fenomena ini antaranya ialah punca-punca
semulajadi seperti hujan lebat dan aktiviti manusia contohnya pembuangan sisa
pepejal ke dalam parit. Punca-punca ini sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai
impak samada positif atau negatif kepada hidupan dan alam. Sebagai contoh dari
sudut positif, mengembalikan keadaan tanah yang kaya nutrisi di mana ia sesuai
untuk pertanian dan tumbuhan semula jadi namun dalam tidar sedar ia telah
mengehadkan kegitan ekonomi dan sosial yang lain. Dalam mengatasi hal ini,
kerajaan telah melakukan pelbagai usaha seperti pembinaan terowong SMART
(Stormwater Management and Road Tunnel) sebagai inisiatif untuk mengawal banjir
kilat di Kuala Lumpur pada masa yang sama mengawal kesesakan trafik. Secara
asasnya, terowong ini mempunyai dua dek laluan sehala bagi kenderaan manakala
ruang paling bawah adalah untuk laluan air. Pembinaan terowong ini merupakan
salah satu produk teknologi hijau kerana sedikit sebanyak telah berjaya mengurangkan
risiko Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia, dilanda banjir dengan lebih dahsyat
pada setiap tahun. Dari konteks luar negara pula seperti Bangkok, direkodkan
bahawa ia tenggelam pada kadar lebih satu sentimeter dan dijangka boleh berada
di bawah paras laut menjelang 2030 jika langkah proaktif tidak diambil. Oleh
hal yang demikian, seorang wanita yang berasal dari Thailand, Kotchakorn
Voraakhom, tampil mencipta sebuah taman simpanan air di mana fungsi utamanya
adalah menjadi tangki simpanan air hujan ketika berlaku musim tengkujuh
sekaligus mengelak banjir besar melanda Bangkok. Taman yang diberi nama sebagai
Chulalongkorn University Centenary Park itu,
diinspirasikan dengan pokok hujan yang melambangkan usia universit tiersebut
dan pipi monyet, metafora kegemaran mendiang Raja Bhumibol. Beliau berkata
bahawa pokok hujan adalah simbolik kepada universiti ini, ia mempunyai sistem
akar dan cabang ketara yang mewujudkan teduhan serta ekologi persekitaran
sementara pipi monyet, yang berfungsi sebagai tempat menyimpan makanan di dalam
mulut, menjelaskan bagaimana Bangkok berjaya mengadaptasi keadaan banjir.
Berdasarkan kedua-dua inspirasi ini, beliau membina komponen pengekalan air ke
dalam tanah menerusi tiga elemen utama iaitu bumbung hijau, tanah paya dan kolam
penahanan air yang menggunakan sistem
sama. Oleh sebab taman ini direka pada kedudukan bersudut, apabila air hujan
turun di bahagian atas (bumbung hijau), ia akan mengalir ke tanah lembap
sebelum terkumpul di kolam penahanan air yang boleh menampung sebanyak satu
gelen air. Air ini kemudiannya digunakan semula untuk proses penyiraman
tumbuhan. Realitinya, taman yang berkeluasan 0.003% ini sebenarnya tidak mampu
membaikpulih isu banjir di negara tersebut tetapi ia adalah satu permulaan yang
baik bagi membuka mata masyarakat untuk menjaga alam dengan lebih baik dan
mampan. Konklusinya, terowong SMART dan Chulalongkorn University Centenary Park
ternyata merupakan produk teknologi hijau yang dapat mengurangkan isu banjir.
Seterusnya, masalah
pencemaran plastik dan kaca. Plastik merupakan bahan yang mengambil masa yang
lama untuk dibiodegradasikan dengan semula jadi. Bergantung kepada komposisi
dan struktur kimianya, ada jenis plastik yang mengambil masa sehingga 400
tahun untuk terurai. Walaupun hakikatnya plastik boleh dikitar semula, tetapi
kos yang diambil untuk mengumpul, memproses, dan membersihkan bahan ini sangat
tinggi menyebabkan ia tidak menjadi keutamaan kerajaan dan industri. Sejak
dahulu lagi, plastik lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada hidupan
samada manusia, haiwan atau alam. Contohnya, plastik yang dibuang sering
memberikan false signal pada haiwan seperti penyu dan ikan paus yang
mengganggap plastik adalah makanannya menjadikan faktor utama haiwan ini pupus
akibat kematian kerana menghadapi kesulitan proses penghadaman apabila memakan
hasil buangan sisa pepejal. Pembuangan plastik secara merata-rata juga boleh
menyebabkan sistem pemparitan tersumbat seterusnya menyumbang kepada kejadian
banjir kilat, wabak penyakit dan lain-lain lagi. Walaupun kerajaan telah
mengeluarkan jumlah dana yang besar untuk mengurangkan isu ini, sebagai contoh
Malaysia mengeluarkan sebanyak RM216 juta untuk membersihkan sungai di Malaysia
pada 2023 namun ia tidak mampu untuk menyelesaikan masalah pembuangan plastik
jika rakyat sering melakukan budaya ini.
Oleh hal yang demikian, Sharon Barak, seorang jurutera Kimia di Tel Aviv,
telah berjaya mencipta satu produk yang berfungsi dan tampak seperti plastik.
Perbezaannya ialah plastik yang dicipta oleh beliau mampu terurai dalam air!
Bukan itu sahaja, air tersebut bahkan boleh diminum menunjukkan bahawa bahan
yang terkandung dalam plastik buatan beliau sangat selamat dan mesra alam.
Selain daripada plastik buatan, Bubble Barrier juga membantu dalam
memudahkan proses pengumpulan plastik yang terapung di permukaan air. Teknologi
yang memiliki tiga komponen utama iaitu bubble curtain, compressor
dan catchment system itu mampu untuk menangkap plastik yang berada di
sepanjang sungai di Belanda. Bubble curtain dicipta dengan mengepam
udara melalui tiub berlubang di bahagian bawah laluan air. Selepas itu, bubble
curtain akan menghasilkan arus menaik yang menghalakan plastik ke
permukaan. Dengan meletakkan Bubble Barrier secara menyerong merentasi
sungai, aliran semula jadi air akan menolak sisa plastik ke tepi dan ke dalam
sistem tadahan (catchment system). Sistem tadahan ini direka bentuk
untuk berfungsi selaras dengan bubble curtain untuk mengumpul dan
menyimpan plastik. Selepas pengumpulan, ia akan dialih keluar untuk diproses
dan digunakan semula. Sentuh mengenai arus, adakah ia mengganggu laluan hidupan
air seperti ikan? Sudah semestinya, tidak! Bukan itu sahaja, teknologi ini juga
mampu berfungsi 24/7 tanpa pemantauan, tidak menggangu aktiviti perkapalan
serta dapat meningkatkan kualiti oksigen dalam air. Di samping plastik, tahukah
anda bahawa botol kaca adalah empat kali lebih berbahaya daripada botol
plastik? Ya, itulah hakikatnya. Di pulau yang terletak di Tanzania, kaca yang
biasanya datang daripada botol arak dibuang begitu sahaja tanpa pengurusan yang
cekap. Menyedari hal ini, Lou dan pasukannya berjaya menemui cara untuk
mengendalikan bahan-bahan tersebut dengan mencipta bata daripadanya di samping
digunakan semula atau upcycle. Daripada 20 botol yang dikutip, 2 daripadanya
digunakan sebagai bekas lilin dan atau pasu bunga. Jadi, baki 18 botol lagi
akan dihancurkan dan diproses dengan menambah beberapa bahan lain dan
terjadinya bata. Bata-bata ini boleh digunakan untuk mencipta rumah dengan cara
yang lebih mampan kerana setiap satu rumah yang dibina dikatakan hanya
memerlukan 50000 botol sekaligus menjimatkan
kos pembinaan. Bukankah idea-idea ini menarik dalam merealisasikan SDG?
Akhirnya, isu
alam sekitar yang sering melanda ialah pencemaran air. Air merupakan salah satu
sumber penting bagi hidupan termasuk manusia untuk hidup. Tanpa air yang cukup
dan bersih, kegiatan ekonomi seperti aktiviti pertanian sukar untuk dijalankan.
Bahkan, hidupan yang habitatnya di laut dan sungai berisiko untuk mati dan
mengalami kepupusan spesies sekaligus boleh mengganggu ekosistem. Berbalik
kepada fokus utama, iaitu pencemaran air. Apakah punca-punca berlakunya isu
ini? Pertamanya ialah faktor industri. Industri atau kilang merupakan pengeluar sisa yang mengandungi
bahan kimia toksik dan bahan pencemar. Hampir sebilangan besar kilang-kilang di
muka Bumi mengalirkan sisa yang berbahaya ini di air tawar di mana akan
mengalir ke terusan, sungai dan akhirnya laut. Terdapat banyak lagi faktor yang
meyumbang kepada pencemaran air seperti pertanian, pembuangan bahan pepejal ke
dalam laut dan penebangan hutan yang sememangnya diketahui ramai tetapi masih
memilih untuk melakukan aktiviti-aktiviti ini dengan cara yang tidak mesra alam
atas dasar pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Tetapi, bukan semua
individu tidak mengambil endah terhadap apa yang berlaku kepada alam
persekitaran termasuk Marino Morikawa. Beliau, yang merupakan seorang saintis
telah menemui penyelesaian untuk mengatasi pencemaran air dengan menghasilkan
satu bahan yang terdiri daripada buih 10,000 kali lebih kecil daripada buih
dalam minuman soda, yang, apabila ia terapung ke permukaan, membunuh virus dan
bakteria. Lebih menarik apabila bahan tersebut juga boleh dimakan dengan
selamat! Kejayaan beliau yang menggabungkan bahan ini dengan bantuan
nanoteknologi dan biofilter terhasil apabila kawanan burung-burung
bermigrasi di tanah lembap El Cascajo dalam perjalanan dari Kanada ke
Patagonia. Setelah berjaya membersihkan El Cascajo dalam masa 15 hari, Morikawa
juga berhasrat untuk melakukan hal yang sama terhadap Tasik Titicaca. Walaupun
menyedari kos yang dikeluarkan untuk menghasilkan bahan tersebut terlalu mahal,
ia bukanlah penghalang untuk Morikawa menjadi penyelamat alam sekitar. Ini
merupakan negara yang mempunyai sumber air tawar tetapi bagaimanakah pula
perspektif negara yang dikelilingi air laut seperti negara Arab yang tiada air
sungai, taburan hujan yang sangat sedikit setiap tahun dan 90% daripada sumber
air bawah tanah juga turut masin? Kerajaan Arab berjaya mencari solusi dengan
mencipta sistem yang dapat mengasingkan partikel-partikel garam daripada air
laut yang dinamakan sebagai proses penyahgaraman atau desalinasi. Air yang
bersih ini digunakan untuk menampung rakyat dan haiwan di negara tersebut. Apa
yang lebih menakjubkan adalah apabila negara ini juga berhasil dalam mencipta
air buatan sendiri dengan menabur garam yang diperoleh daripada proses tadi ke
awan yang dipanggil cloud seeding. Proses yang menggunakan bantuan
pengangkutan udara seperti kapal terbang ini telah menghasilkan awan-awan yang
besar yang merupakan penyebab kepada berlakunya fenomena hujan di negara
tersebut. Pada tahun 2017, mereka melakukan proses ini buat hampir setiap hari!
Idea untuk membina sebuah empangan yang besar membuahkan hasil apabila air-air hujan yang turun terus
dapat dikumpul dan ditakung di sini.
Sekarang, sumber daripada empangan ini yang membuatkan manusia dan hidupan lain
dapat hidup dengan lebih baik. Begitu juga dengan negara Singapura, yang juga
mempunyai masalah yang sama iaitu sumber air yang terhad, turut mencipta air
buatan sendiri dengan mengitar semula air daripada sisa kumbahan. Selain dapat
menyelesaikan masalah kekurangan air tetapi sedikit sebanyak dapat
menyelamatkan aliran sungai dan air laut daripada tercemar. Air ini dikatakan
sangat bersih daripada air minuman yang dijual di kedai kerana telah diuji
sebanyak 150000 kali. Walaupun begitu, adakah anda berani untuk mencubanya?
Kesimpulannya, walaupun terdapat banyak teknologi hijau di luar sana yang dicipta oleh manusia untuk menyelematkan Bumi, namun ia akan menjadi sia-sia jika rakyat masih lagi memilih kepada pembangunan dan kemajuan yang pesat berbanding kepentingan penjagaan alam sekitar. Hal ini kerana 10 tangan perosak akan tetap menang jika ‘bertanding’ dengan 1 tangan penyelamat. Walaupun para saintis sedang giat berusaha mengkaji dan mencari planet untuk didiami sekiranya Bumi sudah mencapai tahap yang ‘tenat’, namun ini bukan tiket untuk manusia melakukan kerosakan dengan sewenangnya kerana kebarangkalian untuk mendiami planet lain selain Bumi adalah sangat rendah. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang penduduk Bumi yang prihatin, menjadi tanggungjawab kita semua untuk ambil tahu dan cakna terhap apa yang telah, sedang dan akan berlaku ke atas Bumi. Ayuh kita mulakan dengan mengelakkan pembaziran air, membawa beg terpakai apabila membeli belah, mengamalkan budaya 5R dalam kehidupan, menanam lebih banyak pokok dan lain-lain lagi. Mungkin kita tidak mampu menjadi seperti individu-individu yang telah disebut namun ia bukanlah tanda bahawa kita tidak dapat jadi yang terbaik. Boleh jadi dengan tindakan kecil yang diambil pada hari ini, memberi impak yang sangat besar dan ketara pada masa hadapan. Siapa tahu kita boleh mengalami semula suasana yang dirasai oleh nenek moyang kita dahulu? Di saat haiwan-haiwan dapat hidup dengan baik tanpa kegiatan pemburuan haram? Di saat bersih dan jernihnya sungai-sungai tanpa sisa pepejal? Dan di saat udara pagi yang segar dan menenangkan? Tidak mahukah kita semua merasainya semula? Tepuk dada, tanya selera.
Sumber: Internet


.png)
.png)

Comments
Post a Comment